Saleh Bin Ismail, seorang guru senior semasa aku bertugas di SK (Felda) Palong 14. Hari pertama aku sampai di Palong 14, merupakan hari persandingan dia dengan isterinya, Noridah Binti Harun. Juga seorang guru senior di SK (Felda) Palong 14. Jadi aku tidaklah berjumpa dengannya walaupun rumah bujang aku dengan rumah dia bersebelahan. Aku mula berkenalan dengannya setelah dia datang bertugas.
Saleh Ismail ini merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti di sekolah. Tapi aktiviti sukan minta maaf. Tengok saja boleh la. Kalau bab bercakap serah saja pada dia. Kepetahan dia bercakap menyebabkan jawatan juruacara majlis adalah hak dia. Maklumlah bekas naib johan Pidato Piala Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan. Kalau dengar bicaranya kekadang kita akan rasa sakit hati. Main sedap mulut dia nak cakap. Tapi dia ni baik hati. Apa yang di kata, hanyalah satu gurauan. Cuma dalam gurauan dia, ada yang serius. Dia juga seorang yang pemurah. Masa aku mula posting, aku dan Suhaimi tidak ada kenderaan. Dia dengan murah hatinya telah memberi pinjam motosikalnya kepada Suhaimi. Lama kami gunakan motosikal tersebut.
Saleh Ismail ini juga aktif dalam kegiatan akademik peringkat luak, daerah dan negeri. Dia merupakan penggerak utama kemajuan Panitia Sains peringkat Luak Palong. Kerana keaktifannya, dia telah ditawarkan ke JPNNS sebagai Penyelia Sains sekolah rendah. Semasa berada di JPNNS dia telah menyambung pelajaranya di OUM. Dia ambil TESL. Disamping itu dia juga sempat mengambil diploma bimbingan dan kaunseling di UKM. Setelah tamat belajar, dia telah ditempatkan di SMK Ampuan Durah dan kemudiannya ke SMK Mantin sebagai Kaunselor.
Sebenarnya aku bercerita tentang kekawan lama ni, kerana aku berasa bertuah. Ke mana saja aku pergi, aku kenal dengan orang yang prihatin dan baik hati. Mereka yang suka menolong dan membantu bila aku kesusahan. Syukur aku panjatkan ke hadrat Allah dengan limpah kurnia-Nya.
Alhamdulillah... Wassalam...