Subscribe:

Pages

29.7.09

Sahabat Di SK Felda Palong 14

Sahabat Serumah;

 Suhaimi, Tamrin dan Ahmad Fhadizal. Inilah sahabat serumah aku masa bujang dulu. Mereka inilah yang pertama aku kenal semasa aku posting.  Suhaimi merupakan sahabat aku yang sama-sama posting dengan aku. Tamrin dan Ahmad Fhadizal pula merupakan guru senior di situ.


Suhaimi...

Masa aku sampai untuk kali pertama di rumah guru tempat aku tinggal, aku lihat dia sedang bergayut di alang pintu, sedang buat senaman. Badan dia yang berpeluh membuatkan dia nampak berkilat. Hati aku berkata, dia ni aktif sukan agaknya. Maklumlah aku lihat badan dia boleh tahan, macam atlit bentuk badannya. Aku teka dia ni tentu hebat dalam sukan. Tapi bila dah lama berkawan, baru aku tahu. Hampeh, macam aku jugak! Takat boleh main je. Kalau ada pertandingan, ada pulak ramai pemain, kita orang ni posisi jaga beg la jawabnya. Heheehehe....

Suhaimi ni, merupakan sahabat serumah aku yang paling rapat. Aku anggap dia macam adik-beradik. Macam abang aku sendiri. Susah sama susah,  senang sendiri-sendiri.... hehehehe..... Takdelah, gurau je. Aku masih ingat lagi masa aku dan dia meredah hujan dengan motosikal untuk ke Bahau, nyaris-nyaris nak terlanggar bontot kereta hanya sekadar untuk mengeluarkan duit sebanyak RM30.00.  Itulah duit yang kita berdua ada. Masing-masing sudahpun pokai. Masa kita orang dulu, gaji yang pertama, paling kurang ambil masa tiga bulan. Makan pagi, kita orang tak kisah, boleh berhutang dengan tauke kantin, tapi bab makan malam, itu yang kita orang kena sediakan duit. Tak ada tempat untuk berhutang. Tapi alhamdulillah, kita orang sesak tidak lama. Hanya sempat berhutang beberapa ratus ringgit sahaja dengan beberapa pihak. Jadi bila dapat gaji, kita orang langsaikan semua.
Aku selalu bersama dengan dia untuk ke mana-mana. Maklum la, sahabat serumah aku yang dua orang lagi tu pantang hari jumaat, pasti balik kampung. Si Tamrin, balik ke kampungnya di Seri Menanti. Si Ahmad Fhadizal pulak balik ke kampungnya di Felda Kemasol, Triang, Pahang. Kampung dia orang dekat. Tak sama dengan aku dan Suhaimi, kampung aku di Kelantan dan Suhaimi pulak di Kedah. Jadi, aku dan dia sajalah yang bersama-sama bila hari cuti.

Tahun 1999, Suhaimi melangsungkan perkahwinannya dengan seorang gadis yang bernama Norliza. Aku panggil dia Kak Liza. Cantik orangnya. Cikgu jugak. Bertuah Suhaimi mendapatnya. Bila dah berkahwin,  Suhaimi pindah rumah. dia menjadi orang pertama yang meninggalkan rumah bujang kami. Dia menyewa rumah kakitangan Felda. Masa berpindah, dia mungkin merajuk dengan aku kerana aku tidak menolong dia mengangkat barang-barangnya. Bukan apa sahabat, aku sebenarnya berasa sedih bila mana sahabat ingin berpindah. Maafla sahabat jika sahabat terasa hati pada ketika itu.

Kata orang, bila kita berkahwin, rezeki kita akan bertambah. Aku lihat begitulah keadaannya Suhaimi. Dia sudah dapat membeli kereta. Dia selalu mengajak aku yang keseorangan di rumah pada hujung minggu bersiar-siar. Itulah sahabat, susah bersama, senangpun bersama.
Pada tahun 2003, dia dan isterinya berpindah ke negeri Kedah. Seingat aku, sejak dia berpindah adalah dalam empat kali kami bertemu. Namun begitu, sahabat tetap di dalam hati ini.

Tamrin...

Dia ni tuan rumah. Maksud aku rumah tersebut nama dia. Jadi kita tiga orang ni menumpang di rumah dia la. Bulan-bulan kongsi bayar jumlah elaun rumah yang dia kena potong.
Tamrin ni orang Negori jati. Asalnya Seri Menanti. Orang lingkungan istana. Dia kalau bab mencari ikan sungai, serah je kat dia. Tangkap guna tangan je. Tak payah guna pukat ataupun jala.
Dengan Tamrin ni aku masih lagi berjumpa. Kekadang pergi memancing udang bersama.

Ahmad Fhadizal....

Dia ni, teman sebilik aku yang pertama. Kita orang panggil dia Mat. Masa aku sampai dia tak ada di rumah. Dia dengan Tamrin pergi bermain sepak takraw dengan peneroka. Dia tawarkan aku tidur sebilik dengan dia kerana biliknya agak besar. Aku tidur sebilik dengan dia adala dalam tiga bulan. Aku kesian kat katil dia, asyik patah. Mungkin tak tahan menampung berat kita orang berdua. Lepas aku dapat gaji, aku beli tilam dan sebilik dengan Suhaimi.

Si Mat ni, orangnya mudah je. Kalau nak buat sesuatu, dia buat. Kalau tak nak buat, dia biarkan saja. Dia berkahwin selepas Suhaimi. Isterinya cikgu, posting kat Bukit Serok. Selepas setahun berulang dari Bukit Serok, dia akhirnya berpindah dan mengajar di sana.
Walaupun dia dekat dengan aku, tapi kami jarang-jarang berjumpa. Semoga kau sentiasa selamat dan sejahtera di sana.

Cikgu Rujida dan Cikgu Rafeah...

Suami isteri ni.  Cikgu Rujida aku panggil Abang Jid dan isterinya aku panggil Kak Chik. Baik orangnya. Abang Jid ni adalah ilmu batinnya. Boleh la berubat sedikit sebanyak. Boleh nampak hantu ni. Kalau Kak Chik ni, lurus orangnya. Kalau berkias sikit dah tak faham. Kalau nak cakap apa-apa kat dia kena straight to the point.