Bagi aku pula sudah tidak perlu lagi berebut ke pasar raya untuk beli-belah sekarang ini. Almaklumlah isteri aku jenis yang suka membeli secara berdikit-dikit. Dia suka membeli awal-awal lagi. Seingat aku, baju raya anak-anak sudah dibelinya seawal Ramadhan lagi. Dia tak mahu beli-belah dah dekat nak raya. Penat katanya.
Dalam keseronokan beli-belah ni, kita kenalah ingat beberapa perkara. Hendak membuat persiapan raya yang sebaik-baiknya bersederhana. Bersederhanalah dalam membuat persiapan hari raya kali ini. Ekonomi tengah gawat. Bonus tak dapat pulak tu. Jadi beringat-ingatlah.
Bersederhana ini pula, kenalah berdasarkan kemampuan. Janganlah iri dengan orang lain. Jika terlihat jiran sebelah lebih pulak persiapannya, janganlah diikut jiran kita itu pulak. Manalah kita tahu kemampuan dia. Bagi dia, persiapan yang dibuat itu sekadar sederhana saja, maklumlah pendapatan RM10000.00 sebulan. Mana sama sederhana kita yang sekadar RM3000.00 sebulan. Jadi timbang-timbang dan fikir-fikirlah sendiri.
Sekarang ni musim H1N1, masa pergi ke pasar raya tu pakai-pakailah penutup mulut. Keadaan pasar raya yang penuh sesak sekarang ni boleh mengundang H1N1 ke keluarga kita. Lebih baik kita beringat-ingat.
Bagi yang ada ibu dan ayah, pulanglah beraya bersama mereka. Kalau sudah berkeluarga sekalipun, cuba-cubalah untuk pulang jua. Kalau giliran tahun ini bersama mertua, raya kedua atau ketiga pulanglah juga. Semasa mereka ada inilah untuk kita bersama mereka. Untuk kita menjengah kampung laman. Bila keduanya sudah tiada, kampung laman jarang sekali dapat dijengah. Adik-beradik jarang sekali dapat berkumpul bersama.
Bagi yang hendak balik kampung pulak, kenderaan yang hendak digunakan untuk balik kampung tu dah diperiksa ke belum keadaannya? Minyak pelincir dah tukar? Brek ok?Tayar tak botak? Eligment tak lari? Macam-macam lagilah. Yang patut ditukar tu tukarlah. Yang patut diservis, servislah. Jangan sampai, kena beraya kat tepi jalan nanti. Minta jauhlah kan benda-benda macam tu.
Bagi yang tiada kenderaan sendiri, tiket dah dapat ke belum? Aku rasa tiket dah habis dah. Jadi yang belum dapat tiket tu, cari-carilah kawan-kawan yang ada kenderaan yang masih lagi kosong yang boleh ditumpangi. Jangan nanti sendu sendiri di hari raya.
Oklah, sempena hari raya yang bakal tiba, aku ingin memohon maaf dengan semua orang yang mengenali diri ini. Salah dan silap harap dimaafi. Almaklumlah diri ini hanya insan biasa.
Ok. Wassalam