Namun begitu kesedihan yang aku rasa, tidak lama. Setelah aku bermuhasabah diri, aku menerima bahawa itu adalah ketentuan Ilahi. Kita sebagai hambanya, hanya mampu merancang. Ketentuan tetap di tangan-Nya. aku kembali menjadi diriku seperti biasa. Aku kembali ceria dengan suasana SKP5(F).
Sesi Petang
SKP5(F), pada masa aku melapor diri merupakan sekolah yang mempunyai dua sesi. Sesi pagi dan sesi petang. Pada tarikh aku melapor diri tersebut, ada seorang guru lain yang senasib dengan aku. Diarah berpindah. Oleh kerana aku lewat melapor diri, aku telah ditugaskan mengajar di sesi petang. Aku hanya perlu mengajar murid-murid Tahap 1. Jadi tidaklah membebankan sangat. Terlepaslah aku dari tugasan mengajar murid-murid Tahun 6. (Aku mengajar Bahasa Melayu Tahun 6 semasa aku di SKP14(F).
Aku berasa bersyukur ditugaskan mengajar pada sesi petang. Selain hanya mengajar murid-murid Tahap 1, guru-guru pada sesi petang ini, ikatan persahabatannya sungguh erat. Mungkin kerana bilangannya tidak ramai yang menyebabkan perhubungan mereka menjadi mesra. Mereka mudah untuk lebih mengenali antara satu sama lain.
Azizah, Haslina, Mimi, Mas Ayu, Shamsudin, Zulkifli, Ujang (nama sebenarnya aku lupa),Zaini, Madznah, Md Nor,dan Noraidah antara yang aku ingat mengajar di sesi petang. Ada beberapa orang lagi aku terlupa namanya. Pada mereka yang aku terlupa namanya, maafkanlah aku, jika sahabat semua terbaca catatan ini. Aku seronok dan gembira ketika bersama kalian semua. Masih teringat dengan jamuan-jamuan yang selalu diadakan. Kerjasama erat ketika melakukkan aktiviti sekolah. Akan menjadi kenangan buat selamanya. Suasana ketika sesi petang dulu kini sudah tiada lagi. Hanya tinggal satu kenangan.
Daripada Cikgu Md Nor, Penyelia Petang pada masa itu, aku belajar bagaimana untuk membuat jadual dengan menggunakan Program SSS. Walaupun program tersebut sudah lama, aku rasa ia masih sesuai digunakan. Jadual boleh dibuat dengan mudah. Dengan sedikit kekreatifan penggunanya, program tersebut boleh mengatur kedudukan waktu pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan sesuai. Lagi satu program tersebut adalah percuma. Kalau hendak dapatkan yang lebih canggih, carilah yang berbayar. Ada beberapa jenis di pasaran. Cuma harganya, sama ada mampu atau tidak dibeli oleh pihak sekolah. Jadi terima kasih aku ucapkan kepada Cikgu Md Nor kerana kesudian beliau mengajar aku menggunakan program tersebut. Lagi satu, terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada aku untuk *tengok-tengokkan* keadaan sekolah ketika ketiadaan beliau. Itu merupakan pengalaman yang amat berguna kepada aku.
Aku hanya berkesempatan untuk berada selama dua tahun lebih di sesi petang, bila mana murid-murid SKP5(F) semakin berkurangan. Dengan berkurangnya bilangan murid, bilik darjah menjadi cukup untuk satu sesi. Mulai tahun 2005, SKP5(F) menjadi sekolah satu sesi. Jadi aku pun terpaksalah kembali bertugas pada sebelah pagi. Apabila berada di sesi pagi, aku menerima beberapa tugas yang melibatkan unit Kokurikulum, HEM dan Kurikulum. Kalau dulu hanya sekadar AJK biasa, kini ada sedikit peningkatan. Banyaklah kerja sikit.
Apa yang menyedihkan sedikit berada di sesi pagi, aktiviti semasa sesi petang sudah tidak dibuat lagi. Tiada lagi jamuan yang boleh dikatakan saban bulan dibuat secara bergilir oleh guru-guru. Aktiviti tidak lagi semeriah semasa sesi petang. Almaklumlah, bila bertambah bilangan kepala, bertambahlah pelbagai pendapat dan idea. Apabila idea dan pendapat tidak dapat diterima, adalah yang akan melakukan sekadar ala kadar.Lagi satu, wujud pulak kem-kem tertentu yang saling tidak sehaluan. Masing-masing punya hak untuk menegakkan pendapat, prinsip dan idea sendiri. Jadi masing-masing buatlah hal masing-masing. Lakukan aktiviti yang menjadi tanggungjawab masing-masing.Macam-macam cerita aku dengar. Namun aku sekadar menjadi pendengar. Tidaklah aku menyebelahi mana-mana. Bagi aku semua orang ada pendapat dan prinsip sendiri.Selepas perpindahan dan persaraan ketua-ketua kem, kurang sikitlah sikap berpuak-puak ini. Tidak lagi aku dengar, kem ini salahkan kem sana dan kem sana menyalahkan kem sini.
Selepas beberapa tahun di SKP5(F), aku menjadi cukup selesa dengan keadaan di sini. Aku selesa dengan semua rakan guru yang ada. Aku juga tidak mempunyai masalah dengan para staf. Masing-masing ada tugas. Jadi lakukanlah tugas sendiri.
Ada banyak cerita di SKP5(F). Aku akan bercerita lagi bila aku kembali dengan kenangan lama di SKP5(F).. Sekian.. Jumpa lagi