Subscribe:

Pages

7.10.08

Amalan Membaca

bacalah dengan nama tuhan mu yang menciptakan…

yang menciptakan manusia dari segumpal darah

bacalah dan tuhan yang maha mulia

yang mengajarkan dengan kalam

Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya” – Terjemahan Surah Al-Iqra

Membaca adalah pintu utama ke arah pengetahuan. Dengan membaca, kita akan dapat memperolehi banyak maklumat. Bermacam-macam  perkara boleh kita perolehi dengan membaca.. Pendek kata, dengan membaca, wawasan pengetahuan kita akan semakin luas, dari cerita sastera ke cerita sains, dari maklumat sejarah ke maklumat geografi, dari cerita realiti ke cerita dongengan, semuanya boleh kita ketahui jika kita banyak membaca. Namun sayangnya, tidak semua orang suka dan gemar membaca. Ramai yang sakit kepala bila disuruh membaca. Membaca bila mana terpaksa. Bagi para pelajar membaca dan tekun mentelaah di saat ingin menghadapi peperiksaan ataupun hendak menyiapkan kerja kursus. Membaca juga dilakukan di saat ingin menghadiri temuduga. Bila sudah bekerja amalan membaca langsung dilupakan. 

Jadi, bagaimana caranya membuat orang kita gemar membaca?

Mengikut kajian, bayi yang berada di dalam kandungan ibu mampu mendengar bunyi-bunyian ketika berumur 16 minggu. Oleh itu, para ibu digalakkan untuk memperdengarkan bacaan ayat-ayat al-quran kepada bayi mereka. Para ibu juga digalakkan membacakan cerita-cerita yang menarik kepada bayi mereka.

Amalan membacakan cerita ini hendaklah berterusan selepas bayi dilahirkan. Carilah bahan-bahan yang menarik dan sesuai berdasarkan peningkatan umur bayi anda. Pilihlah buku cerita yang memiliki banyak gambar dengan tulisan yang sedikit bagi peringkat permulaan. Gambar yang berwarna akan lebih menarik daripada gambar yang hitam putih. Biarkan anak memilih sendiri buku yang ingin dibacanya, supaya ia lebih berkeinginan untuk membaca.

Dalam membacakan cerita, usahakan sehidup mungkin sehingga anak anda dapat merasa seolah-olah berada di dalam cerita tersebut. Nada dan intonasi suara dengan gerakan-gerakan tubuh yang berekspresi untuk mewujudkan suasana yang hidup. Bahkan bayi pun dapat menikmati buku yang dibacakan, iaitu dari irama suara dan kehangatan tubuh pembaca yang memangkunya.

Bila bayi anda membesar menjadi kanak-kanak yang cergas, ibu bapa hendaklah memastikan adanya masa untuk anak-anak mereka membaca. Ibu bapa tidak boleh membiarkan anak-anak mereka leka bermain dan menonton televisyen.

Dalam banyak perkara, orang tua harus menjadi contoh yang baik. Bila orang tua gemar membaca, anak-anak akan mengikut jejaknya. Sediakan bahan bacaan yang memadai dan mengatur suasana rumah yang kondusif untuk membaca. Nescaya anak-anak akan ikut gemar membaca.

Wassalam..