Subscribe:

Pages

7.10.08

Amalan Membaca

bacalah dengan nama tuhan mu yang menciptakan…

yang menciptakan manusia dari segumpal darah

bacalah dan tuhan yang maha mulia

yang mengajarkan dengan kalam

Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya” – Terjemahan Surah Al-Iqra

Membaca adalah pintu utama ke arah pengetahuan. Dengan membaca, kita akan dapat memperolehi banyak maklumat. Bermacam-macam  perkara boleh kita perolehi dengan membaca.. Pendek kata, dengan membaca, wawasan pengetahuan kita akan semakin luas, dari cerita sastera ke cerita sains, dari maklumat sejarah ke maklumat geografi, dari cerita realiti ke cerita dongengan, semuanya boleh kita ketahui jika kita banyak membaca. Namun sayangnya, tidak semua orang suka dan gemar membaca. Ramai yang sakit kepala bila disuruh membaca. Membaca bila mana terpaksa. Bagi para pelajar membaca dan tekun mentelaah di saat ingin menghadapi peperiksaan ataupun hendak menyiapkan kerja kursus. Membaca juga dilakukan di saat ingin menghadiri temuduga. Bila sudah bekerja amalan membaca langsung dilupakan. 

Jadi, bagaimana caranya membuat orang kita gemar membaca?

Mengikut kajian, bayi yang berada di dalam kandungan ibu mampu mendengar bunyi-bunyian ketika berumur 16 minggu. Oleh itu, para ibu digalakkan untuk memperdengarkan bacaan ayat-ayat al-quran kepada bayi mereka. Para ibu juga digalakkan membacakan cerita-cerita yang menarik kepada bayi mereka.

Amalan membacakan cerita ini hendaklah berterusan selepas bayi dilahirkan. Carilah bahan-bahan yang menarik dan sesuai berdasarkan peningkatan umur bayi anda. Pilihlah buku cerita yang memiliki banyak gambar dengan tulisan yang sedikit bagi peringkat permulaan. Gambar yang berwarna akan lebih menarik daripada gambar yang hitam putih. Biarkan anak memilih sendiri buku yang ingin dibacanya, supaya ia lebih berkeinginan untuk membaca.

Dalam membacakan cerita, usahakan sehidup mungkin sehingga anak anda dapat merasa seolah-olah berada di dalam cerita tersebut. Nada dan intonasi suara dengan gerakan-gerakan tubuh yang berekspresi untuk mewujudkan suasana yang hidup. Bahkan bayi pun dapat menikmati buku yang dibacakan, iaitu dari irama suara dan kehangatan tubuh pembaca yang memangkunya.

Bila bayi anda membesar menjadi kanak-kanak yang cergas, ibu bapa hendaklah memastikan adanya masa untuk anak-anak mereka membaca. Ibu bapa tidak boleh membiarkan anak-anak mereka leka bermain dan menonton televisyen.

Dalam banyak perkara, orang tua harus menjadi contoh yang baik. Bila orang tua gemar membaca, anak-anak akan mengikut jejaknya. Sediakan bahan bacaan yang memadai dan mengatur suasana rumah yang kondusif untuk membaca. Nescaya anak-anak akan ikut gemar membaca.

Wassalam..

 

          

24.9.08

Pengetahuan

Apa aku nak karang tentang topik ini, ye? Apa yang pasti, masa aku bersekolah dulu, aku kena banyak membaca bagi menambahkan pengetahuan. Dulu, kemudahan bagi mendapatkan maklumat dan ilmu pengetahuan tidak semaju dan secanggih sekarang. Dulu, aku banyak bergantung pada buku-buku teks yang dibekalkan oleh kerajaan ataupun pinjam buku-buku dari perpustakaan untuk mendapatkan maklumat. Jadi, dulu aku kena baca buku untuk menjadi orang yang berpengatahuan?

Budak-budak sekarang lain. Budak-budak sekarang ni, macam-macam ada. Selain daripada buku-buku dan bahan bacaan, mereka ada televisyen, radio, cd-cd pembelajaran berbentuk interaktif, dan yang paling popular sekarang ni internet.

Buku-buku bermacam jenis di pasaran. Tak mampu nak beli boleh pergi ke perpustakaan. Banyak perpustakaan awam disediakan oleh kerajaan. Bukan sahaja di bandar-bandar besar, malah pekan-pekan kecil, kampung-kampung, mahupun kawasan felda terdapat perpustakaan yang disediakan. Tapi, apa yang aku perhatikan, membaca bukan medium yang disukai. Orang sekarang tidak suka membaca. Malah mengikut kajian, rakyat Malaysia merupakan rakyat yang sangat sedikit membaca. Mengapa ya, rakyat Malaysia tidak suka membaca? Bagi aku membaca sebuah buku merupakan cara yang paling berkesan untuk menambahkan pengetahuan. Dalam sebuah buku, kupasan adalah menyeluruh berbanding dengan medium lain, contohnya televisyen. Ini kerana, bagi menyediakan satu rancangan televisyen memakan kos yang tinggi, menyebabkan banyak perkara atau fakta yang hendak disampaikan terpaksa ditinggalkan. Ini berbeza dengan buku yang kos penerbitannya adalah murah. Semua maklumat yang hendak disampaikan oleh pengarang boleh disampaikan dalam sebuah buku. Itulah bagusnya membaca buku bagi menambah ilmu pengetahuan.

Televisyen, sama ada saluran percuma atau berbayar banyak menyiarkan pelbagai program berbentuk informasi yang penuh dengan maklumat. Ada Channel Nasional Geografik, History, Animal Planet, IQ, dan macam-macam lagi. Semua channel tersebut menyediakan maklumat, dan penuh dengan ilmu pengetahuan. Namun begitu, berapa ramai pula yang menontonnya? Ramai rakyat Malaysia lebih suka menonton telenovela, drama, rancangan hiburan, dan juga filem. Program berbentuk informasi dan penyampaian maklumat hanyalah sekadar program sampingan. Ditonton bila mana tiada program menarik yang lain yang hendak ditonton. Jadi, bagaimana rakyak Malaysia ingin menjadi orang yang berpengatahuan.

  Berkaitan dengan VCD pembelajaran yang banyak dipasaran, aku malas nak cakap la, memang sangat kurang mendapat sambutan. Walaupun ianya bagus untuk menambah pengetahuan anak-anak, namun kebanyakkan ibu bapa lebih suka membeli VCD filem. Anak-anak lebih banyak menonton VCD pembelajaran ini di sekolah. Itupun jika guru yang mengajar suka menggunakan VCD tersebut semasa mengajar. 

  Sekarang ini, sumber paling popular untuk mendapatkan maklumat ialah internet.  Apa hendak? Semua ada. Tidak ada kemudahan internet di rumah, kunjungi saja 'cyber kafe'. Sekarang serata ceruk rantau ada kemudahan 'cyber kafe'. Kunjung, bayar dan layari internet. Mudahkan, macam kira 1, 2, 3 sahaja. Macam-macam maklumat ada dalam internet. Taip je kata kunci, insyaalah, adalah maklumat yang dicari. Jadi, sekarang ni memang mudah untuk menambah pengetahuan. Tapi sayangnya, kebanyakkan yang mengunjungi cyber cafe merupakan budak-budak sekolah yang berkunjung untuk bermain permainan online ataupun melayari laman web lucah. Bayar RM2.00 sejam untuk itu sahaja. Ilmu pengetahuan yang berguna tidak diambil peduli.

Kesimpulan yang aku boleh buat, rakyat Malaysia sekarang sepatutnya boleh menjadi rakyat yang berilmu pengetahuan jika menggunakan segala kemudahan yang ada. Untuk menjadi bangsa yang maju dan dihormati, minda kita mestilah penuh dengan pengetahuan yang terkini. Dengan pengetahuan yang ada, kita tidak akan mudah ditipu. Untuk itu, gunakanlah peluang dan kemudahan yang ada untuk menambahkan ilmu pengetahuan. semoga kita kita senang di dunia dan selamat di akhirat. 

Wassalam..