Subscribe:

Pages

4.8.09

Kenangan Di SK Felda Palong 14

SK Felda Palong 14, sebuah sekolah luar bandar yang terletak di daerah Jempol. Sekolah ini di buka pada 4 Disember 1989. Pada awalnya sekolah ini menumpang di bangunan Sekolah Agama Rakyat Felda Palong 14,15, dan 16. Adalah dalam 4 tahun menumpang di situ sehingga bangunan yang ada sekarang siap dibina pada tahun 1993.
              Pada awalnya kehidupan di sini agak susah sikit. Maklumlah, kawasan penempatan baru. Jalan pun tak berturap lagi. Dapatlah cikgu-cikgu yang menjadi tenaga pengajar yang awal di sekolah itu menghirup udara berdebu. Hehehe... Rumah guru pun pada awalnya tidak disediakan, hanya menumpang rumah kakitangan Felda. Kiranya aku ini adalah golongan yang bertuah, tidak merasai kesusahan yang dihadapi oleh guru-guru yang awal. Seingat aku, masa aku di situ adalah 4-5 orang guru lama yang menjadi pengasas sekolah itu masih kekal mengajar di situ, seperti cikgu Noor Hakim, cikgu Salina, cikgu Rujida, cikgu Rafeah dan beberapa orang lagi. Dari merekalah aku tahu serba sedikit sejarah awal sekolah dan suasana kawasan tersebut semasa baru-baru dibuka.
                Banyak kenangan aku di SK Felda Palong 14. Ada kenangan manis dan ada juga kenangan yang tidak berapa menyeronokkan.
Bersama-sama dengan aku melapor diri di SK Palong 14 ini adalah 4 orang guru lain. Selain Suhaimi, yang melapor diri pada hari tersebut ialah Jalila, Noriah dan seorang lagi yang aku lupa namanya kerana cepat benar dia pergi. (pindah.. ikut suami).  Jalila ni, aku dah kenal sebab dia satu maktab dengan aku. Noriah dan cikgu seorang lagi tu pulak dari Maktab Perguruan Kota Baru. Dengan Noriah pun tak lama jugak kenal. Adalah dalam setahun. Lepas itu dia pun ikut suami
                Guru-guru di sini mudah bekerjasama. Setiap aktiviti yang dijalankan akan melibatkan semua guru.  Tidak ada guru yang menolak untuk menjalankan tugas yang amanahkan. Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Cuma aku tersenyum bila aku teringatkan sahabat aku Suhaimi, dia ditimbunkan dengan pelbagai tugas setiausaha semasa tahun pertama di situ. Pernah dia mengira-mengira depan aku, ada berbelas juga tugas setiausaha dia. Apa yang bagusnya dia ni, dia tetap menjalankan tanggungjawab dia dengan sempurna. Aku pulak, tidaklah sebanyak dia. Seingat aku, aku pernah memegang tugas sebagai penyelaras pusat sumber sekolah, bendahari PIBG, ketua penasihat persatuan, ketua panitia dan beberapa jawatan lagi. Semua itu tidak menjadi masalah pada aku. Aku cuba laksanakan sebaik yang mungkin.
                Masa aku mengajar di sana, tidak banyak kerenah ibu bapa yang mengganggu. Mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak kami untuk mendidik anak-anak mereka. Sememangnya begitulah harapan guru, pihak ibu bapa memberi kepercayaan kepada para guru untuk mendidik anak-anak mereka. Janganlah mencampuri urusan sekolah. Namun kerjasama ibu-bapa amat dialukan. Jika ada permasalahan, ibu-bapa dipersilakan ke sekolah untuk berbincang.
                Oklah, tiga minggu aku di SK Felda Palong 14, aku sudah menjelajah hampir 3/4 dari Negeri Sembilan. Ini kerja cikgu Hakim. Dia selalu mengajak aku keluar. Aku yang tidak ada apa hendak dibuat, ikut je. Terima kasih bang, jasa abang tidak aku lupakan. Terutamanya, jasa abang mengajar saya pandu kereta.
                Di sekolah ini juga ada seorang guru yang pandai bab-bab mistik. Aku panggil dia Abang Jid. Aku selalu juga berborak dengan dia bab-bab alam ghaib ni. Orang rumah dia aku panggil kak cik. Aku cukup suka minum nescafe yang kak cik buat. Secukup rasa.
               Adalah seorang ustaz, namanya Anuar. Bujang, duit banyak. Jadi dengan dialah aku sentiasa berhutang. Dia ni, pandai dalam bidang lukisan. Banyak mural kat sekolah tu, hasil tangan dia. Dia juga suka berkhemah. Aktiviti perkhemahan sekolah, dialah ketuanya.
              Banyak lagi kenangan aku di SK Felda Palong 14 ini. Ada yang aku malas nak cerita dan ada juga tak sedap untuk dicerita. Biarlah menjadi kenangan aku sahaja. Yang betul-betul menjadi kenangan, aku berkenalan dengan isteri tercinta, semasa aku berkhidmat di sini. Hasil kerjasama beberapa orang guru dari tiga buah sekolah, aku berkenalan dengan isteri aku. Hasil usaha mereka aku mendapat seorang isteri. Semasa aku berkhidmat di sini juga aku mendapat dua orang cahaya mata.
Dah la... penat.. aku sambung lain kali.

               

2.8.09

Melapor Diri

16 Februari 1998, aku melapor diri di SK Felda Palong 14. Pada hari itu bermula tugas aku sebagai guru. Aku memperkenalkan diri kepada guru-guru dan murid-murid semasa perhimpunan sekolah. Rasa menggelabah  juga aku berdiri di depan guru-guru dan ratusan murid.

Selepas perhimpunan, aku di bawa berjumpa dengan GPK 1. Pada hari tersebut Guru Besar tidak hadir ke sekolah. Aku diberi jadual waktu dan senarai tugas. Selepas taklimat ringkas oleh GPK1 aku berjumpa dengan guru-guru senior di situ. Maka aku berkenalanlah dengan guru-guru senior tersebut. Cikgu Hakim, Salina, Rujida, Rafeah, Rohaya, Zainab, Aisyah, Anuar, Saleh, Noridah, Sizilawati, Zanariah, dan beberapa orang lagi yang aku dah lupa namanya. Maaf, cikgu-cikgu yang saya terlupa namanya.

Dari hari itu, bermula tugas aku di SK Felda Palon 14. Pelbagai ragam dan rupa aku kenali. Aku seronok berada di situ. Hinggalah pada satu hari, di mana aku berasa sangat tidak diperlukan di SK Felda Palong 14. Di mana, aku menerima surat arahan bertukar dari PPD Jempol & Jelebu. 

Aku diarahkan bertukar ke SK Felda Palong 5. Maka tamatlah khidmat aku di SK Felda Palong 14 pada 16 Julai 2002.